Rabu, 21 Januari 2026

𝗕𝗼𝗺𝗯𝗮 𝗔𝗺𝗮𝗻𝗷𝗮𝘆𝗮 𝗦𝗮𝗻𝘁𝘂𝗻𝗶 𝗞𝗼𝗺𝘂𝗻𝗶𝘁𝗶 𝗢𝗞𝗨, 𝗗𝗲𝗱𝗮𝗵 𝗜𝗹𝗺𝘂 𝗞𝗲𝘀𝗲𝗹𝗮𝗺𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗸𝗮𝗿𝗮𝗻

 

SUNGAI PETANI, 22 Jan – Kesedaran mengenai keselamatan kebakaran dalam kalangan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terus diperkasakan menerusi penganjuran Program Keselamatan Kebakaran Untuk Semua yang berlangsung di Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya, hari ini.

​Program yang bermula seawal jam 8.30 pagi itu melibatkan seramai 60 peserta merangkumi penyelia, petugas, pelatih, dan waris dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sungai Petani.

​Penolong Pengarah Kanan Unit Pembangunan OKU Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Tn. Hj. Shamsul Izrin bin Isahak berkata, inisiatif ini bertujuan memastikan golongan istimewa dan penjaga mereka mempunyai pengetahuan asas dalam menghadapi situasi kecemasan.

​"Kita mahu melatih peserta mengenai prosedur tindakan kecemasan serta cara menyelamatkan diri yang betul. Pengetahuan pencegahan ini sangat penting bagi membolehkan mereka mengenalpasti risiko bahaya di premis masing-masing," katanya ketika merasmikan majlis penutup program tersebut.

​Terdahulu, para peserta telah didedahkan dengan taklimat asas dan simulasi kecemasan yang dikendalikan oleh Pegawai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya, En. Mohd Rofae bin Samsuiman dan En. Mahizaar bin Mansor.

​Selain teori, program turut dimeriahkan dengan aktiviti praktikal termasuk demonstrasi memadam kebakaran dan sesi simulasi menyelamatkan diri.

​Suasana menjadi lebih ceria apabila para pelatih dan waris diberi peluang keemasan menaiki jentera bomba serta merasai pengalaman siraman air dari tembakan pili bomba sebagai sebahagian daripada modul pendedahan kerjaya dan keberanian.

​Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penyelaras PPDK Daerah Kuala Muda, Pn. Nurul Hida binti Mohd Jelani dan Pemaju Pembangunan Masyarakat, Pn. Riena binti Abd Razak.

​Program yang berakhir pada jam 12.30 tengah hari itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada jalinan kerjasama yang lebih erat antara agensi penyelamat dan komuniti berkeperluan khas dalam meminimumkan risiko kemalangan kebakaran di masa hadapan.






𝗕𝗼𝗺𝗯𝗮 𝗔𝗺𝗮𝗻𝗷𝗮𝘆𝗮 𝗦𝗮𝗻𝘁𝘂𝗻𝗶 𝗞𝗼𝗺𝘂𝗻𝗶𝘁𝗶 𝗢𝗞𝗨, 𝗗𝗲𝗱𝗮𝗵 𝗜𝗹𝗺𝘂 𝗞𝗲𝘀𝗲𝗹𝗮𝗺𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗸𝗮𝗿𝗮𝗻

  SUNGAI PETANI, 22 Jan – Kesedaran mengenai keselamatan kebakaran dalam kalangan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) terus diperkasakan mener...